MASA ITU EMAS

Jumaat, 31 Mei 2013

CIRI-CIRI MASALAH TINGKAH LAKU MURID-MURID PEMULIHAN



CIRI-CIRI MASALAH TINGKAH LAKU MURID-MURID PEMULIHAN

i.              Menakut-nakutkan kanak-kanak yang lebih kecil/muda.
ii.            Mencederakan rakan-rakan.
iii.           Suka bergaduh.
iv.           Bercakap besar atau bercakap bohong.
v.            Suka menyakiti hati orang lain.
vi.           Menjahanamkan harta benda.
vii.          Tidak duduk diam dan suka menjerit.
viii.        Pasif tidak mahu bercakap atau mengambil bahagian.
ix.           Suka berlari-lari.
x.            Tidak mendengar arahan.
xi.           Membantah.
xii.          Panas baran.
xiii.        Tidak menyiapkan tugasan yang diberi.
xiv.        Melakukan kegiatan atau aksi negatif.

MASALAH TINGKAH LAKU



MASALAH TINGKAH LAKU.

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktok-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku murid tersebut. Roger Stancliffe telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.

i.              Faktor persekitaran
Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran sepert bunyi bising, sejuk, panas dan lain-lain. Perubahan tingkah lakukan akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk seperti autisme dan lain-lain.

ii.            Tekanan psikologi
Individu yang mengalami tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan merasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.

iii.           Ketakutan dan fobia
Fobia adalah ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut.

iv.           Peneguhan yang kurang sesuai
Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta-merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan ganjaran leh ibu bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja engan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

v.            Kemahiran komunikasi dan sosial terhad
Terdapat bukti yang jelas menunjukan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi dikalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.

vi.           Kesukaran tugasan.
Kesukaran tugasan boleh menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada murid tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.

vii.          Jangkaan tingkah laku.
Ada kala ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak dan membiarkan berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak adalah rendah daripada sepatutnya. Sebenarnya mereka itu terperangkap dengan tanggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi.
http://www.scribd.com/doc/36215880/Definisi-Tingkah-Laku-Bermasalah

Sabtu, 25 Mei 2013

HUBUNGAN ETNIK ANTARA KAUM



PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan agama. Mengikut Jabatan Perangkaan Negara (2006), komposisi jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai 26.46 juta orang. Daripada jumlah tersebut 24.8 juta orang merupakan warga negara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum melayu mewakili 54% daripada populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera selain Melayu seramai 2.39 juta orang yang mewakili 11.8%. Oleh itu kaum bumiputera mewakili 65.8% daripada jumlah keseluruhan warganegara Malaysia. Kira-kira 25% daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang. 7.5% terdiri daripada kaum India seramai 1.86 juta orang, manakala kaum lain pula mewakili 1.7% iaitu seramai 318.9 ribu orang.
Masyarakat yang pelbagai etnik ini hidup dengan aman dan mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing secara bebas dan saling menghormati antara satu sama lain. Menurut Faridah (2008) hubungan etnik yang merujuk kepada interaksi antara etnik yang berbeza (intraetnik) atau interaksi dalam kumpulan etnik yang sama (intraetnik), kepelbagaian kelompok etnik di Malaysia telah diterima oleh semua rakyat dan ini merupakan sumber kekuatan perpaduan di Malaysia. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia bermula dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di Malaysia. Kontrak sosial adalah satu persetujuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setia kawan serta perkongsian kuasa yang kemudiaannya terjelma dalam perjuangan menunutut kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan. (Anuar dan Nur Atiqah, 2008).

PENGERTIAN PERPADUAN
Menurut Mohd Sohaimi Isa (2011) perpaduan merujuk sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.
Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.


Mengikut laman web http://bahasamelayuupsrpmr.blogspot.com/2009/07/ringkasan-perpaduan-kaum.html Perpaduan merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus yang dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah perkara utama dari sembilan cabaran utama untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi
“ Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi diperingkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”.

Isu perkauman memang tidak dapat dielakkan apabila terdapat golongan atau kumpulan manusia yang mempunyai beberapa ciri kesamaan seperti biologi atau budaya cuba mempertahankan golongan masing-masing dan pada masa yang sama menindas kaum lain. Banyak organisasi politik dan sosial di negara kita dibentuk berasaskan kepada garis perkauman atau etnik.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos !957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. .Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambah ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan misalnya “ Keranamu Malaysia” di harap dapat menanam semangat cinta negara.

Sesungguhnya semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu dan tidak ada duanya. Peribahasa “Hujan emas di negi orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik negeri sendiri” perlu direnung oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya sekali kita leka  dan lalai serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya, kerana terlajak perahu boleh diudur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya.

Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu.  Walaupun terdapat pelbagai cabaran tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpabuan kaum dan integrasi akan tercapai.

 

 ASPEK-ASPEK PERPADUAN ANTARA KAUM


Dasar Penjajahan British
Salah satu cabaran hubungan etnik  ialah kesan daripada dasar penjajahan British iaitu  pemisahan fizikal. Pemisahan fizikal ini wujud kesan daripada dasar ‘pecah dan perintah' yang diamalkan oleh penjajah British pada masa dahulu. Pemisahan fizikal ini menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih kerap kerana tinggal di wilayah yang berbeza. Hal ini merenggangkan perhubungan dan interaksi serta memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota setiap etnik. Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.
Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri dan masih menggunakan sukatan pelajaran yang diamalkan di negara asal mereka. Pelajar Melayu belajar di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa Melayu. Orang India pula bersekolah di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil. Manakala bagi pelajar Cina, mereka bersekolah di sekolah Cina dan menggunakan bahasa Mandarin. Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama.
Selain itu, kontrak sosial juga juga kerap dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Kontrak sosial merupakan persetujuan yang dicapai semasa kemerdekaan dalam merangka perlembagaan. Antara isu yang sering ditimbulkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, dan sebagainya. Sebarang isu atau kontrak sosial yang dibangkitkan boleh membawa kepada kerenggangan hubungn etnik di Malaysia.

 Aspek Ekonomi
Dalam sektor ekonomi, terdapat jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi. Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berbeza jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan teramcam. Kebanyakan orang Melayu menguasai sektor pertanian yang agak mundur. Orang Cina umumnya menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan dan perdagangan. Manakala orang India pula menguasai sektor ekonomi yang berasaskan ladang. Kesannya, wujud jurang pendapatan yang berbeza antara etnik.
Dasar British yang meletakan kaum berdasarkan kepada pekerjaan menyebabkan etnik tertentu mendominasi dalam satu-satu bidang pekerjaan. Orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian, nelayan dan berkhidmat sebagai penjawat awam. Kebanyakan orang Cina pula terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan. Manakala sebahagian besar orang India pula merupakan buruh di estet. Perbezaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik tertentu. Secara tidak langsung, perkara ini memperkukuhkan lagi semangat perkauman.

 Aspek Politik
Di negara ini terdapat pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan setiap parti politik akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang diwakilinya. Politik perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi dibangkitkan, maka tindakan ini tidak akan menyumbang kea rah masyarakat yang bersatu padu.

 Aspek Nilai Antara Etnik
Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, terdapat pelbagai perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan dalam masyarakat di Malaysia. Setiap kumpulan etnik mempertahankan kebudayaan dan adat resam mereka, mengutamakan etnik mereka dan mungkin juga menganggap kebudayaan mereka sahaja yang terbaik. Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Selain daripada itu kewujudan akhbar yang pelbagai bahasa dengan mengutamakan kelompok etnik mereka akan memperkukuhkan lagi perasaan kumpulan etnik masing-masing. Cabaran dari segi kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.

Aspek Globalisasi
Globalisasi merujuk kepada dunia tanpa sempadan dimana perhubungan menjadi semakin pantas dan cepat. Kita boleh mengetahui keadaan dunia luar dengan pantas dan cepat dan segala maklumat boleh disalurkan tanpa ada sekatan. Globalisasi membawa masuk pengaruh dari Barat dari segi ideologi, budaya hedonism dan nilai negatif, ekonomi bebas, sains dan teknologi yang memusnahkan dan sistem politik yang dianggap terbaik bagi semua manusia.
Melalui globalisasi, kuasa Barat mengeksport segala macam keburukan yang merosakkan negara dan alam sekitar, budaya hiburan dan pengeksplotasian sumber manusia dan bahan mentah. Gejala ini mengakibatkan lenyapnya nilai luhur dan pemikiran barat diterima secara senang ke dalam masyarakat. Kejayaan mereka ini dibantu oleh masyarakat tempatan yang menganggap segala yang datang dari barat adalah baik dan moden.
Keadaan ini akan memberi kesan kepada hubungan etnik, intergrasi, perpaduan, mudah terjadinya konflik dan lebih parah lagi mengundang rusuhan kaum. Secara tidak langsung, keadaan ini akan memburukan lagi hubungan etnik di Malaysia.
LANGKAH MENANGANI MASALAH PERPADUAN
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan mahupun NGO untuk menangani masalah perpaduan kaum di Malaysia. Banyak usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan kaum yang berbilang bangsa di Malaysia.

1.    Peranan Kerajaan
Antara usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membentuk perpaduan antara rakyat berbagai kaum ialah
Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata banyak pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969 Jabatan Perpaduan Negara dibawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita.
Penerimaan budaya orang lain samada dari segi pakaian, makanan atau tempat tinggal di taman-taman perumahan yang sama. Keadaan ini akan menggalakkan lagi hubungan etnik dalam kalangan rakyat melalui aktiviti setempat.
Memperkasakan sekolah Wawasan. Sistem pendidikan pelbagai aliran menyebabkan ramai ibubapa menghantar anak-anak ke sekolah mengikut kaum masing-masing. Usaha untuk memupuk perpaduan hendaklah dimulai dari awal dengan membabitkan murid sekolah rendah dalam acuan yang sama. Maka usaha-usaha perlu diambil untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatu padukan rakyat berbilang kaum dinegara ini.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Ia mula dilaksanakan pada tahun 2004 dan merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan secara berkhemah dan berasrama bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). PKLN dilaksanakan berteraskan Rukun Negara. Ia bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.

2.    Peranan Ngo
Pertubuhan-pertubuhan yang diasaskan oleh golongan etnik sama ada pada peringkat negara atau persatuan seperti Pertubuhan Belia Malaysia, Dewan Peniagaan dan Perusahaan Malaysia, Pergerakan Belia 4B, Persatuan Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan sebagainya perlulah dianggotai oleh pelbagai kaum untuk mempercepatkan lagi proses perpaduan antara kaum.

3.    Peranan Masyarakat
Skim Rukun Tetangga telah diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan kuat kuasanya Peraturan-Peraturan Perlu ( Rukun Tetangga 1975 ). Pada peringkat awal tujuan rukun tetangga adalah untuk mengawal keselamatan di kawasan  kediaman masing-masing.  Mulai 1 Januari 1983 kerajaan telah memperkenalkan satu pembaharuan dengan memberi penekanan pada konsep kejiranan yang bertujuan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Pada tahun 2000, pendekatan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi mandat yang lebih luas iaitu pembangunan masyarakat secara meluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional.
Rumah terbuka akan diadakan oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik di Malaysia akan sering kunjung mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi akan mengunjungi ke rumah orang Melayu dan begitulah sebaliknya bagi etnik lain. Etnik Cina misalnya akan berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput etnik Melayu datang ke rumah sewaktu Tahun Baru Cina. Hal ini menunjukan etnik Cina begitu mengambil berat dan memahami budaya etnik Melayu. Begitu juga dengan etnik Melayu tidak akan menyajikan daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami dan menghormati budaya masing-masing

4          Peranan Guru Dalam Menangani Masalah Perpaduan



Banyak sekolah di negara ini mempunyai pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan dan remaja pelbagai kaum. Awalnya disekolah jugalah mereka belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. Namun persahabatan terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa berasa harus ada pengasingan atau peminggiran atas dasar kelainan itu.
Pengalaman berkawan dengan rakan daripada kaum lain di alam persekolahan ini membina perspektif unit dalam diri kanak-kanak dan remaja sehinggalah dewasa apabila mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan dengan rakan-rakan dari kaum yang lain.
Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Untuk itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah


Aktiviti kurikulum yang seragam
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hanya sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh. Perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kurikulum merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dengan secara teliti dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, untuk semua peringkat persekolahan.

Aktiviti kokurikulum.
Menurut  http://suhaizlah.wordpress.com/2011/06/14/ antara-langkah-langkah ke--menwujudkan-perpaduan-di-kalangan-pelajar/ Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan  kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.
Aktiviti kokurikulum juga menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan efektif. Justeru, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti program sukan, kelab, persatuan, pameran, ceramah dan pelbagai lagi haruslah dipergiat dan dipertingkat lagi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Hal ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga dalam memahami bagaimana kehidupan rakyat Malaysia.



Aktiviti sukan
Sukan juga menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah. Sukan dijalankan bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat. Matlamat utama hari sukan ialah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan diantara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua pelajar akan terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatupadu tanpa mengira apa-apa jua tetapi sebagai satu kumpulan yang majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan di antara palajar-pelajar.

Program Anak Angkat
Program anak angkat merupakan satu rancangan pertukaran pelajar untuk sesuatu aktiviti demi kebaikan pelajar. Selalunya ia berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan. Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah, Sarawak atau Brunei agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara pelajar dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional.

Program integrasi di sekolah.
Mantan Perdana Menteri malaysia yang kelima Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada masa pemerintahannya mahukan program integrasi di sekolah diteruskan bagi membolehkan perpaduan dan kerjasama antara pelajar pelbagai kaum ditingkatkan. Beliau berkata langkah ini perlu kerana melalui program tersebut akan membawa kebaikan kerana wujudnya perasaan saling hormat-menghormati antara kaum dapat dipereratkan. Antara kata-kata beliau semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan Pemimpin Persatuan Guru dan Sekolah (PIBG) Parlimen Kepala Batas di Penang Golf Resort
“ Kita nak kebaikan supaya setiap kemajuan negara dapat dinikmati semua kaum dan ia setiap kaum sama-sama menyumbang kepada negara dan menguntungkan semua pihak. Kalau kita tidak berusaha untuk memberi kesempatan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum seperti sukan, debat, kegiatan alam sekitar dan landskap, hubungan antara mereka akan terpisahdan bersendirian menjadikan intergrasi  sukar untuk dilaksanakan”.

Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah.
Prinsip Rukun Negara hendaklah terus menjadi agenda dalam pembangunan modal insan dari generasi ke generasi bagi memastikan prinsip itu kekal diterima dan menjadi teras perpaduan masyarakat di negara ini. Hal  demikian kerana ideologi yang terkandung di dalam Rukun Negara amat holistik dan mencakupi nilai-nilai bersama yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. "Oleh itu, penerapan prinsip ini dalam diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan sahsiah golongan tersebut.
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap dalam Majlis Tokoh Negara: Kolokium Sekretariat Rukun Negara anjuran Taylor’s Universiti berkata
“ Oleh itu, penerapan prinsip ini dalam diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan sahsiah golongan tersebut ”
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan pelajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..

Sekolah Penyayang
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.

RIMUP diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran. Ia merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. Ia bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu. Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Hj. Mohd Anuar Abdul Hamid berkata, menerusi RIMUP, progran yang berkonsepkan perpaduan dan amalan nilai-nilai murni didedahkan kepada peserta.
http://www.rtm.gov.my/berita/index.php?option=com_content&view=article&id=578:rancangan-integrasi-murid-untuk-perpaduan&catid=47:fokus

 

 

Antara contoh aktiviti yang boleh dianjurkan ialah Program Perkhemahan Padu Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 1 Malaysia, Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 1 Malaysia. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah bertujuan untuk mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibbah secara sedar dan terancang. Ia juga bagi melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah.


Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.

Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah
Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah-rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak-kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.

Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah
Perkhemahan merupakan satu aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula wujud apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatupadu. Dengan ini wujudlah perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza.
Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Penekanan kepada mata pelajaran Sejarah
Matlamat pendidikan Sejarah bagi peringkat menengah rendah dan menengah atas ialah  memupuk semangat taat setia kepada bangsa dan negara serta berbangga menjadi warganegara Malaysia. Kandungan kurikulum yang disediakan, memberikan fokus kepada pemahaman yang menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu mengikut susunan tahun. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah seharusnya memberi tumpuan kepada pemerolehan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan pemupukan nilai-nilai. Kurikulum ini bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh dan satu gambaran yang lengkap tentang sejarah negara. Dalam rentetan peristiwa ini dimasukkan pula sejarah negara luar yang mempunyai kaitan dengan sejarah negara. Sejarah negara luar ini merupakan asas bagi pelajar untuk mengetahui dan memahami hubungan dan kaitannya dengan Sejarah Malaysia (PPK 2002). Pendidikan Sejarah dilihat dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman antara bangsa (PPK 2002) kerana tujuan pendidikan Sejarah itu adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia.

Persekitaran pendidikan
Menurut Zaidi Ahmad (2010) persekitaran pendidikan di malaysia menyediakan ruang fizikal untuk pelajar pelbagai etnik berinteraksi. Di semua pusat pendidikan, penyertaan pelajar pelbagai etnik dalam semua aktiviti adalah tinggi. Aktiviti yang berstruktur yang diamalkan disemua institusi pendidikan di Malaysia akan melibatkan pelajar secara menyeluruh dan berkenalan. Guru atau tenaga pengajar akan menjadi pusat tumpuan dan menggerakkan aktiviti dan tugasan yang perlu dilaksanakan. Polo interaksi sosial begini akan melibatkan interaksi dan pelajar akan memilih sahabat walaupun daripada kumpulan etnik yang berbeza.
Semasa melaksanakan aktiviti seseorang pelajar, dapat mengenalpasti kriteria  pelajar lain dan situasi ini  dapat membantunya memilih seorang sahabat. Dalam situasi ini, pola interaksi sosial dalam kalangan pelajar dalam kumpulan etnik yang berlainan dapat diadakan jika murid ini ditempatkan dalam satu persekitaran yang multietnik, jadi persekitaran pembelajaran di Malaysia menepati kriteria ini. Teori polo interaksi sosial dapat diaplikasikan dalam keadaan ini yang mana peluang disediakan untuk berinteraksi sosial. Pelajar mengenali antara satu sama lain walaupun daripada etnik yang berlainan. Apabila berinteraksi, minat dan sifat dapat dikenalpasti yang selanjutnya membuka ruang untuk perkongsian merentasi etnik.

KESIMPULAN
Hubungan etnik merupakan perkara yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Hubungan etnik ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dan sentiasa menghayati perjanjian sosial yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi.
Usaha-usaha perlu diambil secara berterusan bagi memastikan hubungn etnik di Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Usaha-usaha ini adalah melibatkan peranan kerajaan, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang penting dalam memastikan hubungan etnik sentiasa dalam keadaan baik, segala usaha ini perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat.
Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum ataupun etnik perlu tahu dan memainkn peranan mereka dalam memastikan konflik perkauman seperti peristiwa 13 Mei berulang semula. Perpaduan kaum ini amatlah penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.
Sehubungan dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Oleh itu, segala kerjasama semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan hubungan etnik di nagara Malaysia.