MASA ITU EMAS

Ahad, 6 Oktober 2013

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK



Faktor-faktor  yang mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak
i.               Umur
Perbendaharaan kata kanak-kanak akan bertambah apabila meningkat usia. Hal ini disebabkan adanya hubungan rapat antara umur dan kematangan terutama sekali alat suara dan akal. Kanak-kanak tidak bercakap selagi belum matang.

ii.              Kesihatan
Perkembangan bahasa kanak-kanak akan terganggu jika kesihatannya terganggu terutamanya dalam masa 2 tahun pertama. Ini kerana kanak-kanak yang sakit kurang aktif dan letih. Jadi mereka kurang mendapat rangsangan alam sekitar dan kelancaran pertuturan terganggu.

iii.            Jantina
Secara amnya, kanak-kanak perempaun lebih cepat bercakap dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki. Ini disebabkan perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak perempuan lebih cepat berbanding lelaki. Oleh itu alat suara kanak-kanak perempuan lebih cepat matang. Sebab itulah percakapan kanak-kanak perempuan lebih mudah difahami. Selain itu mereka lebih banyak perbendahaaan kata. Kesannya kanak-kanak perempuan lebih banyak bercakap dan lebih cepat membaca. Namun bagi sesetengahnya kanak-kanak perempuan ada juga yang lambat mengalami perkembangan bahasa.

iv.            Kecerdasan
Kecerdasan dan kebolehan bahasa seseorang amat berkait rapat. Jika dilihat pada kanak-kanak yang cerdas, mereka lebih cepat bercakap dibandingkan kanak-kanak yang lemah. Namun, tidak bermakna kanak-kanak yang lambat bercakap tidak cerdas akalnya. Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya lebih tinggi mempunyai sifat istimewa kerana dapat memerhati dan memahami erti perkataan dan percakapan.

v.             Keadaan keluarga.
Secara amnya, perkembangan bahasa kanak-kanak berstatus tinggi dan sederhana akan lebih cepat bercakap jika dibandingkan dengan kanak-kanak berstatus rendah. Selain daripada itu, perbendaharaan kata mereka juga lebih tinggi. Saiz sesebuah keluarga juga mempengaruhi. Andai kata jika kanak-kanak itu anak tunggal maka lebih cepat bercakap dan lebih banyak berinteraksi dengan ibu bapa serta mandapat layanan yang cukup. Manakala anak yang ramai adik-beradik akan lebih kerap bercakap sesama sendiri maka perbendaharaan katanya sedikit.

vi.            Alam sekitar
Faktor alam sekitar berkait dapat dengan keadaan keluarga. Kanak-kanak yang membesar dalam linkungan alam sekitar yang sihat akan mendapat segala kemudahan. Kesannya mereka perkembangan bahasa mereka lebih cepat. Jika persekitaran kanak-kanak dikelilingi dengan orang pandai maka mereka terbiasa dengan percakapan orang bijaksana serta perbendaharaan kata yang betul dan banyak.

PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK



PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK
Pengertian Bahasa
Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada menggunakan bahasa untuk berinteraksi sesama sendiri. Memahami bahasa haiwan merupakan satu keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman. Hal ini telah membuktikan bahawa haiwan juga tidak terkecuali mempunyai bentuk bahasa mereka tersendiri untuk berkomunikasi dan memahami sesama mereka. Oleh itu sebagai manusia yang lebih tinggi darjatnya daripada haiwan, kemampuan menguasai bahasa dengan baik, dapat mempengaruhi kita dalam menyampaikan pendapat, idea atau meluahkan perasaan dengan lebih baik.

Definisi bahasa
Terdapat berbagai-bagai definisi bahasa telah diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga linguistik. Antaranya adalah seperti berikut:
“bahasa adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol khusus  untuk mewakili sesuatu” (Reed, C.A., 1994)
“satu struktur yang unit daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat untuk berhubung.” (Simanjuntak, 1978)
“lambang-lambang pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenangnya dan dipersetujui dan digunakan untuk berkomunikasi.” (Bloom, 1988)

Teori pemerolehan bahasa
Ada banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh para saujana tentang konsep pemerolehan bahasa. Umpamanya Lyons (1995) melihat pemerolehan bahasa itu dari perspektif nurani, iaitu petunjuk dari hati. Justeru bahasa tidak diperolehi secara semulajadi tetapi tumbuh dan menjadi matang secara organik. Manakala kamus Linguistik (1997) pula memberi takrif pemerolehan bahasa sebagai proses pembelajaran bahasa daripada satu aspek hingga  keseluruhannya.
Mangantar Simunjuntak (1987)  pula berpendapat, pemerolehan bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak (bayi), sewaktu memperolehi bahasa ibundanya. Dalam bidang psikolinguistik, konsep pemerolehan bahasa berlaku hanya melibatkan bahasa pertama kanak-kanak.
Menurut Khairuddin Mohamad (2011) ada banyak pandangan dalam kalangan ahli bahasa tentang proses pemerolehan bahasa. Oleh sebab pandangan yang berbeza-beza, maka wujud pelbagai teori tentang pemerolehan bahasa ini. Antara teori yang popular mengenai pemerolehan bahasa adalah Teori Behavioris, Teori Mentalis dan Teori Interaksional.

Teori Behavioris
Menurut Husin Fateh Din, Teori Beharvioris menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori pelaziman Operan. Teori ini dipelopori oleh B. F. Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberikan adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul dan telah berjaya dilakukan oleh kanak-kanak.
Dalam mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap kanak-kanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat. Aktiviti latih tubi dan latihan berulang kali amat penting dijalankan lebih kerap untuk membolehkan pemerolehan bahasa berlaku sehingga menjadi amalan kebiasaan.


Teori Mentalis
Teori ini dipelopori oleh Noam Chomsky. Menurut teori ini pemerolehan bahasa boleh ditakrifkan sebagai proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental. Teori ini juga dikenali sebagai Teori Kognitif, iaitu menjelaskan bahawa bahasa sebagai pengetahuan yang dihasilkan melalui proses dalam otak. Oleh itu, bahasa ialah aktiviti mental yang merupakan kebolehan semulajadi manusia. Chomsky berpendapat, manusia dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa atau Language Acquisition Device (LAD).  Alat ini menyebabkan manusia mempunyai kebolehan semulajadi untuk menguasai bahasa.
Menurut Jean Piaget yang juga berfahaman Mentalis mengatakan perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu merupakan manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperolehi penguasaan bahasa kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitif.
Peringkat pertama (18 bulan – 2 tahun) kanak-kanak membentuk skema atau struktur kognitif hasil dari interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Daripada umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang.
Peringkat kedua dalam lingkungan 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7-12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.

Teori Interaksionalis
Teori ini berkembang pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Terdapat beberapa orang ahli bahasa yang mempelopori teori ini seperti Bloom, Bowennam, Cromer dan Halliday.
Noor Aina (2007) berpendapat golongan ini kelihatan telah berpakat dengan mengambil jalan tengah antara Teori Behavioris dan Mentalis. Mereka bersetuju bahawa persekitaran luaran dan faktor bawaan semulajadi memainkan peranan yang sama penting dalam proses pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kanak-kanak selain menerima latihan bahasa yang pasif daripada ibu bapa, mereka juga dapat memproses bahasa secara aktif kerana memiliki struktur dalaman dalam memperolehi bahasa. Beberapa faktor seperti persekitaran sosial, pematangan, biologi dan kognitif memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa kanak-kanak. Semua faktor ini saling berinteraksi lalu melakukan penyesuaian antara satu sama lain.