PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang
terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan agama. Mengikut Jabatan
Perangkaan Negara (2006), komposisi jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai
26.46 juta orang. Daripada jumlah tersebut 24.8 juta orang merupakan warga
negara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta merupakan bukan warganegara
Malaysia. Kaum melayu mewakili 54% daripada populasi penduduk iaitu seramai
13.48 juta orang. Kaum bumiputera selain Melayu seramai 2.39 juta orang yang
mewakili 11.8%. Oleh itu kaum bumiputera mewakili 65.8% daripada jumlah
keseluruhan warganegara Malaysia. Kira-kira 25% daripada penduduk Malaysia
ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang. 7.5% terdiri daripada kaum India
seramai 1.86 juta orang, manakala kaum lain pula mewakili 1.7% iaitu seramai
318.9 ribu orang.
Masyarakat yang pelbagai etnik ini
hidup dengan aman dan mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing secara
bebas dan saling menghormati antara satu sama lain. Menurut Faridah (2008)
hubungan etnik yang merujuk kepada interaksi antara etnik yang berbeza
(intraetnik) atau interaksi dalam kumpulan etnik yang sama (intraetnik),
kepelbagaian kelompok etnik di Malaysia telah diterima oleh semua rakyat dan
ini merupakan sumber kekuatan perpaduan di Malaysia. Dari segi sejarah,
kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia bermula
dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di
Malaysia. Kontrak sosial adalah satu persetujuan dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa
pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan melalui
kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Semangat kontrak sosial ini
berasaskan semangat kerjasama dan setia kawan serta perkongsian kuasa yang
kemudiaannya terjelma dalam perjuangan menunutut kemerdekaan dan penggubalan
Perlembagaan Persekutuan. (Anuar dan Nur Atiqah, 2008).
PENGERTIAN
PERPADUAN
Menurut Mohd Sohaimi Isa (2011)
perpaduan merujuk sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat
dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan
nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.
Perpaduan
dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara
sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat
bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses
menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai
bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.
Perpaduan
rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia. Isu
perpaduan adalah perkara utama dari sembilan cabaran utama untuk mencapai
matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi
“ Mewujudkan bangsa Malaysia yang
bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama,
berintegrasi diperingkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan
keadilan”.
Isu perkauman memang tidak
dapat dielakkan apabila terdapat golongan atau kumpulan manusia yang mempunyai
beberapa ciri kesamaan seperti biologi atau budaya cuba mempertahankan golongan
masing-masing dan pada masa yang sama menindas kaum lain. Banyak organisasi
politik dan sosial di negara kita dibentuk berasaskan kepada garis perkauman
atau etnik.
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos !957 merupakan
tarikh keramat kemerdekaan negara. .Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya
membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya
pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui
pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambah ukhwah dan
permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu
penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan misalnya “ Keranamu Malaysia” di
harap dapat menanam semangat cinta negara.
Sesungguhnya semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan
yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu dan tidak
ada duanya. Peribahasa “Hujan emas di negi orang, hujan batu di negeri sendiri.
Lebih baik negeri sendiri” perlu direnung oleh setiap warganegara Malaysia agar
perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai
Wawasan 2020.
Semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya sekali kita leka dan lalai serta memandang enteng akan
perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya, kerana
terlajak perahu boleh diudur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha
dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang
bersatu padu. Walaupun terdapat pelbagai
cabaran tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan
strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab
dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpabuan kaum
dan integrasi akan tercapai.
ASPEK-ASPEK PERPADUAN ANTARA KAUM
Salah satu cabaran hubungan
etnik ialah kesan daripada dasar
penjajahan British iaitu pemisahan
fizikal. Pemisahan fizikal ini wujud kesan daripada dasar ‘pecah dan perintah'
yang diamalkan oleh penjajah British pada masa dahulu. Pemisahan fizikal ini
menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk
berinteraksi dengan lebih kerap kerana tinggal di wilayah yang berbeza. Hal ini
merenggangkan perhubungan dan interaksi serta memperkuatkan lagi perasaan
kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota setiap etnik. Keadaan ini
seterusnya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan
dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.
Setiap golongan etnik
mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri dan masih menggunakan sukatan
pelajaran yang diamalkan di negara asal mereka. Pelajar Melayu belajar di
sekolah Melayu dan menggunakan bahasa Melayu. Orang India pula bersekolah di
sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil. Manakala bagi pelajar Cina, mereka
bersekolah di sekolah Cina dan menggunakan bahasa Mandarin. Keadaan ini
menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang
sama.
Selain itu, kontrak sosial
juga juga kerap dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Kontrak sosial merupakan
persetujuan yang dicapai semasa kemerdekaan dalam merangka perlembagaan. Antara
isu yang sering ditimbulkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan
agama Islam, bahasa Melayu, dan sebagainya. Sebarang isu atau kontrak sosial
yang dibangkitkan boleh membawa kepada kerenggangan hubungn etnik di Malaysia.
Aspek Ekonomi
Dalam sektor ekonomi,
terdapat jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi. Setiap etnik
menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan.
Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan
perasaan tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berbeza jenis dan ras serta
mengakibatkan perpaduan teramcam. Kebanyakan orang Melayu menguasai sektor
pertanian yang agak mundur. Orang Cina umumnya menguasai sektor yang lebih maju
seperti perniagaan dan perdagangan. Manakala orang India pula menguasai sektor
ekonomi yang berasaskan ladang. Kesannya, wujud jurang pendapatan yang berbeza
antara etnik.
Dasar British yang meletakan
kaum berdasarkan kepada pekerjaan menyebabkan etnik tertentu mendominasi dalam
satu-satu bidang pekerjaan. Orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor
pertanian, nelayan dan berkhidmat sebagai penjawat awam. Kebanyakan orang Cina
pula terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan. Manakala sebahagian
besar orang India pula merupakan buruh di estet. Perbezaan ini telah
menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik tertentu. Secara tidak
langsung, perkara ini memperkukuhkan lagi semangat perkauman.
Aspek Politik
Di negara ini terdapat
pelbagai parti politik yang berasaskan kumpulan etnik dan setiap parti politik
akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik yang diwakilinya. Politik
perkauman ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan
semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa
mengambil kira kepentingan semua pihak. Jika isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi dibangkitkan, maka
tindakan ini tidak akan menyumbang kea rah masyarakat yang bersatu padu.
Aspek Nilai Antara Etnik
Malaysia merupakan negara
yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, terdapat pelbagai perbezaan
dari segi agama, bahasa dan kebudayaan dalam masyarakat di Malaysia. Setiap
kumpulan etnik mempertahankan kebudayaan dan adat resam mereka, mengutamakan
etnik mereka dan mungkin juga menganggap kebudayaan mereka sahaja yang terbaik.
Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik
yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya
akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Selain daripada itu kewujudan akhbar
yang pelbagai bahasa dengan mengutamakan kelompok etnik mereka akan
memperkukuhkan lagi perasaan kumpulan etnik masing-masing. Cabaran dari segi
kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar jika fahaman
etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.
Aspek
Globalisasi
Globalisasi merujuk kepada
dunia tanpa sempadan dimana perhubungan menjadi semakin pantas dan cepat. Kita
boleh mengetahui keadaan dunia luar dengan pantas dan cepat dan segala maklumat
boleh disalurkan tanpa ada sekatan. Globalisasi membawa masuk pengaruh dari
Barat dari segi ideologi, budaya hedonism dan nilai negatif, ekonomi bebas,
sains dan teknologi yang memusnahkan dan sistem politik yang dianggap terbaik
bagi semua manusia.
Melalui globalisasi, kuasa
Barat mengeksport segala macam keburukan yang merosakkan negara dan alam
sekitar, budaya hiburan dan pengeksplotasian sumber manusia dan bahan mentah.
Gejala ini mengakibatkan lenyapnya nilai luhur dan pemikiran barat diterima
secara senang ke dalam masyarakat. Kejayaan mereka ini dibantu oleh masyarakat
tempatan yang menganggap segala yang datang dari barat adalah baik dan moden.
Keadaan ini akan memberi
kesan kepada hubungan etnik, intergrasi, perpaduan, mudah terjadinya konflik
dan lebih parah lagi mengundang rusuhan kaum. Secara tidak langsung, keadaan
ini akan memburukan lagi hubungan etnik di Malaysia.
LANGKAH
MENANGANI MASALAH PERPADUAN
Pelbagai langkah telah
diambil oleh pihak kerajaan mahupun NGO untuk menangani masalah perpaduan kaum
di Malaysia. Banyak usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk
memupuk perpaduan kaum yang berbilang bangsa di Malaysia.
1. Peranan Kerajaan
Antara usaha yang telah
dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membentuk perpaduan antara rakyat berbagai
kaum ialah
Penubuhan Jabatan Perpaduan
Negara bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat
di negara kita. Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata
banyak pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan
dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sesebuah
masyarakat majmuk seperti Malaysia. Berikutan peristiwa tersebut, Majlis
Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969 Jabatan Perpaduan
Negara dibawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu
berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita.
Penerimaan budaya orang lain
samada dari segi pakaian, makanan atau tempat tinggal di taman-taman perumahan
yang sama. Keadaan ini akan menggalakkan lagi hubungan etnik dalam kalangan
rakyat melalui aktiviti setempat.
Memperkasakan sekolah
Wawasan. Sistem pendidikan pelbagai aliran menyebabkan ramai ibubapa menghantar
anak-anak ke sekolah mengikut kaum masing-masing. Usaha untuk memupuk perpaduan
hendaklah dimulai dari awal dengan membabitkan murid sekolah rendah dalam acuan
yang sama. Maka usaha-usaha perlu diambil untuk memperkasakan sekolah
kebangsaan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih
kukuh ke arah menyatu padukan rakyat berbilang kaum dinegara ini.
Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN). Ia mula dilaksanakan pada tahun 2004 dan merupakan kursus
latihan wajib selama tiga bulan secara berkhemah dan berasrama bagi remaja
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). PKLN dilaksanakan berteraskan Rukun
Negara. Ia bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan
generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
2. Peranan Ngo
Pertubuhan-pertubuhan yang
diasaskan oleh golongan etnik sama ada pada peringkat negara atau persatuan seperti
Pertubuhan Belia Malaysia, Dewan Peniagaan dan Perusahaan Malaysia, Pergerakan
Belia 4B, Persatuan Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan
sebagainya perlulah dianggotai oleh pelbagai kaum untuk mempercepatkan lagi
proses perpaduan antara kaum.
3. Peranan Masyarakat
Skim Rukun Tetangga telah
diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan kuat kuasanya
Peraturan-Peraturan Perlu ( Rukun Tetangga 1975 ). Pada peringkat awal tujuan
rukun tetangga adalah untuk mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Mulai 1 Januari 1983 kerajaan telah memperkenalkan
satu pembaharuan dengan memberi penekanan pada konsep kejiranan yang bertujuan
untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat setempat. Pada tahun 2000, pendekatan Rukun Tetangga telah dipinda
sekali lagi dengan memberi mandat yang lebih luas iaitu pembangunan masyarakat
secara meluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional.
Rumah terbuka akan diadakan
oleh setiap rakyat Malaysia apabila tiba musim perayaan. Setiap golongan etnik
di Malaysia akan sering kunjung mengunjungi ke rumah jiran tetangga walaupun
berlainan etnik. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik
Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai lagi akan mengunjungi ke rumah orang
Melayu dan begitulah sebaliknya bagi etnik lain. Etnik Cina misalnya akan
berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik Melayu apabila menjemput
etnik Melayu datang ke rumah sewaktu Tahun Baru Cina. Hal ini menunjukan etnik
Cina begitu mengambil berat dan memahami budaya etnik Melayu. Begitu juga
dengan etnik Melayu tidak akan menyajikan daging lembu kepada etnik India
apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri. Pertimbangan ini
memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam
kalangan rakyat dan memahami dan menghormati budaya masing-masing
4
Peranan Guru Dalam Menangani Masalah Perpaduan
Banyak
sekolah di negara ini mempunyai pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat
mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan dan remaja
pelbagai kaum. Awalnya disekolah jugalah mereka belajar dan mula tahu mengenai
adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. Namun persahabatan
terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa berasa harus ada pengasingan atau
peminggiran atas dasar kelainan itu.
Pengalaman
berkawan dengan rakan daripada kaum lain di alam persekolahan ini membina
perspektif unit dalam diri kanak-kanak dan remaja sehinggalah dewasa apabila
mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan dengan rakan-rakan dari kaum
yang lain.
Sekolah merupakan satu pusat
integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba
ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Untuk
itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta
integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah
Aktiviti
kurikulum yang seragam
Kurikulum yang dibina bukan
sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk
akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini
berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai
tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah,
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan
dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti
tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah
laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat
negara kita bersikap seperti kacang
hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak
langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng
terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana
pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh
negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah
perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah,
sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hanya sistem pendidikan memainkan peranan
penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada
tipu helah pihak musuh. Perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui
mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kurikulum boleh
dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kurikulum
merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi
dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dengan secara teliti
dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan
tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, untuk semua
peringkat persekolahan.
Aktiviti
kokurikulum.
Menurut http://suhaizlah.wordpress.com/2011/06/14/
antara-langkah-langkah ke--menwujudkan-perpaduan-di-kalangan-pelajar/ Kokurikulum merupakan satu saluran
pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan
pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti
di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan
pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah
keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah, mengukuh
dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di
dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan
mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan
masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara
langsung menuju ke arah integrasi nasional.
Aktiviti kokurikulum juga
menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor,
kognitif dan efektif. Justeru, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti
program sukan, kelab, persatuan, pameran, ceramah dan pelbagai lagi haruslah
dipergiat dan dipertingkat lagi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Di luar
sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum
seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Hal ini akan memberi
pengalaman yang sangat berharga dalam memahami bagaimana kehidupan rakyat Malaysia.
Aktiviti
sukan
Sukan juga menjadi salah
satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah. Sukan dijalankan bukan
semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat.
Matlamat utama hari sukan ialah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan
perpaduan diantara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua pelajar akan
terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah
dengan bersatupadu tanpa mengira apa-apa jua tetapi sebagai satu kumpulan yang
majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan di antara palajar-pelajar.
Program
Anak Angkat
Program anak angkat
merupakan satu rancangan pertukaran pelajar untuk sesuatu aktiviti demi
kebaikan pelajar. Selalunya ia berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang
tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan.
Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah, Sarawak
atau Brunei agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan
kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di
antara pelajar dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya
integrasi nasional.
Program
integrasi di sekolah.
Mantan Perdana Menteri malaysia yang
kelima Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada masa pemerintahannya mahukan program
integrasi di sekolah diteruskan bagi membolehkan perpaduan dan kerjasama antara
pelajar pelbagai kaum ditingkatkan. Beliau berkata langkah ini perlu kerana
melalui program tersebut akan membawa kebaikan kerana wujudnya perasaan saling
hormat-menghormati antara kaum dapat dipereratkan. Antara kata-kata beliau
semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan Pemimpin
Persatuan Guru dan Sekolah (PIBG) Parlimen Kepala Batas di Penang Golf Resort
“
Kita nak kebaikan supaya setiap kemajuan negara dapat dinikmati semua kaum dan
ia setiap kaum sama-sama menyumbang kepada negara dan menguntungkan semua
pihak. Kalau kita tidak berusaha untuk memberi kesempatan kepada pelajar untuk
melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum seperti sukan, debat, kegiatan alam
sekitar dan landskap, hubungan antara mereka akan terpisahdan bersendirian
menjadikan intergrasi sukar untuk
dilaksanakan”.
Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah.
Prinsip
Rukun Negara hendaklah terus menjadi agenda dalam pembangunan modal insan dari
generasi ke generasi bagi memastikan prinsip itu kekal diterima dan menjadi
teras perpaduan masyarakat di negara ini. Hal demikian kerana ideologi yang terkandung di
dalam Rukun Negara amat holistik dan mencakupi nilai-nilai bersama yang
diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. "Oleh itu, penerapan
prinsip ini dalam diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan
sahsiah golongan tersebut.
Bekas Perdana Menteri Tun
Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap dalam Majlis Tokoh Negara: Kolokium
Sekretariat Rukun Negara anjuran Taylor’s Universiti berkata
“ Oleh itu, penerapan prinsip ini dalam
diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan sahsiah golongan
tersebut ”
Semasa
merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hajà Ahmad Badawi selaku Timbalan
Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara
ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu,
dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada
prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara
agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui
Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara di Sekolah, maka
pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan pelajar
terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang
lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..
Sekolah
Penyayang
Satu program
yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan
”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa
pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan
golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang
suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta
menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan
sesama ibubapa para pelajar.
Pelaksanaan
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan
di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan
menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan
yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan
perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka
akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam
sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid
pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan
ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam
masyarakat. Usaha ini dijana semula ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk
menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.
RIMUP diilhamkan oleh bekas Perdana
Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran. Ia
merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat
setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program memberi
penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. Ia
bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan
peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara
kolektif dan bersepadu. Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan
Kesenian, Kementerian Pelajaran, Hj. Mohd Anuar Abdul Hamid berkata, menerusi
RIMUP, progran yang berkonsepkan perpaduan dan amalan nilai-nilai murni
didedahkan kepada peserta.
http://www.rtm.gov.my/berita/index.php?option=com_content&view=article&id=578:rancangan-integrasi-murid-untuk-perpaduan&catid=47:fokus
Antara contoh aktiviti yang boleh
dianjurkan ialah Program
Perkhemahan Padu Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 1 Malaysia, Program
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 1 Malaysia. Setiap aktiviti yang
dijalankan adalah bertujuan untuk mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong
dan mewujudkan suasana muhibbah secara sedar dan terancang. Ia juga bagi
melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah.
Sambutan Bulan Patriotisme dan
Kemerdekaan
Setiap tahun
sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun
kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan
kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan
Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga
turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan
Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang
dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk
patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan
bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran,
melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan.
Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain
di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam
menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan
pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat
patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan
negara.
Lawatan dan ziarah di peringkat
sekolah
Sekolah
menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah,
Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara,
Rumah-rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah
perlindungan kanak-kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan
sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan
seperti perbincangan, gotong royong, persembahan kesenian dan kebudayaan,
pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program lawatan dan ziarah ini
sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi
bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum
dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar
sekolah
Perkhemahan merupakan satu
aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu
puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti
perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk
integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula
wujud apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama
untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama
lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatupadu. Dengan ini wujudlah
perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang
berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza.
Program ini melibatkan semua
pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama
diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan
sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi,
pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan
riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan
para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat
merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman
dan damai.
Penekanan kepada mata pelajaran
Sejarah
Matlamat pendidikan Sejarah bagi peringkat
menengah rendah dan menengah atas ialah memupuk semangat taat setia kepada bangsa dan negara
serta berbangga menjadi warganegara Malaysia. Kandungan kurikulum yang
disediakan, memberikan fokus kepada pemahaman yang menyeluruh tentang sejarah negara
yang merangkumi jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu
mengikut susunan tahun. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah seharusnya memberi
tumpuan kepada pemerolehan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan pemupukan
nilai-nilai. Kurikulum ini bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh dan
satu gambaran yang lengkap tentang sejarah negara. Dalam rentetan peristiwa ini
dimasukkan pula sejarah negara luar yang mempunyai kaitan dengan sejarah
negara. Sejarah negara luar ini merupakan asas bagi pelajar untuk mengetahui
dan memahami hubungan dan kaitannya dengan Sejarah Malaysia (PPK 2002). Pendidikan
Sejarah dilihat dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai
rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman antara bangsa (PPK 2002)
kerana tujuan pendidikan Sejarah itu adalah untuk memupuk semangat setia negara
dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan perasaan bangga
sebagai rakyat Malaysia.
Persekitaran pendidikan
Menurut
Zaidi Ahmad (2010) persekitaran pendidikan di malaysia menyediakan ruang
fizikal untuk pelajar pelbagai etnik berinteraksi. Di semua pusat pendidikan,
penyertaan pelajar pelbagai etnik dalam semua aktiviti adalah tinggi. Aktiviti
yang berstruktur yang diamalkan disemua institusi pendidikan di Malaysia akan
melibatkan pelajar secara menyeluruh dan berkenalan. Guru atau tenaga pengajar
akan menjadi pusat tumpuan dan menggerakkan aktiviti dan tugasan yang perlu
dilaksanakan. Polo interaksi sosial begini akan melibatkan interaksi dan
pelajar akan memilih sahabat walaupun daripada kumpulan etnik yang berbeza.
Semasa
melaksanakan aktiviti seseorang pelajar, dapat mengenalpasti kriteria pelajar lain dan situasi ini dapat membantunya memilih seorang sahabat.
Dalam situasi ini, pola interaksi sosial dalam kalangan pelajar dalam kumpulan
etnik yang berlainan dapat diadakan jika murid ini ditempatkan dalam satu
persekitaran yang multietnik, jadi persekitaran pembelajaran di Malaysia
menepati kriteria ini. Teori polo interaksi sosial dapat diaplikasikan dalam
keadaan ini yang mana peluang disediakan untuk berinteraksi sosial. Pelajar
mengenali antara satu sama lain walaupun daripada etnik yang berlainan. Apabila
berinteraksi, minat dan sifat dapat dikenalpasti yang selanjutnya membuka ruang
untuk perkongsian merentasi etnik.
KESIMPULAN
Hubungan etnik merupakan
perkara yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk.
Hubungan etnik ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang harmonis, saling
bekerjasama dan bersefahaman dan sentiasa menghayati perjanjian sosial yang
telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi.
Usaha-usaha perlu diambil
secara berterusan bagi memastikan hubungn etnik di Malaysia sentiasa berada
dalam keadaan yang baik. Usaha-usaha ini adalah melibatkan peranan kerajaan,
masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang penting dalam memastikan
hubungan etnik sentiasa dalam keadaan baik, segala usaha ini perlu disahut oleh
setiap lapisan masyarakat.
Kepelbagaian budaya dalam
negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum
ataupun etnik perlu tahu dan memainkn peranan mereka dalam memastikan konflik
perkauman seperti peristiwa 13 Mei berulang semula. Perpaduan kaum ini amatlah
penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju
menjelang 2020.
Sehubungan dengan ini,
perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan
lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Oleh itu, segala kerjasama semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan
pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan hubungan
etnik di nagara Malaysia.
8 ulasan:
Mohon copy..tq
mohon copy juga..tq
mohon copy...tq
Silakan.
Silakan
Silakan
boleh saya tahu awak ambik dari mana maksud hubungan etnik tu? kalau ada link,minta share :)
mohon copy.. tq
Catat Ulasan