PERKEMBANGAN BAHASA KANAK-KANAK
Pengertian Bahasa
Sebagai
manusia kita tidak dapat lari daripada menggunakan bahasa untuk berinteraksi
sesama sendiri. Memahami bahasa haiwan merupakan satu keistimewaan yang Allah
kurniakan kepada Nabi Sulaiman. Hal ini telah membuktikan bahawa haiwan juga
tidak terkecuali mempunyai bentuk bahasa mereka tersendiri untuk berkomunikasi
dan memahami sesama mereka. Oleh itu sebagai manusia yang lebih tinggi
darjatnya daripada haiwan, kemampuan menguasai bahasa dengan baik, dapat
mempengaruhi kita dalam menyampaikan pendapat, idea atau meluahkan perasaan
dengan lebih baik.
Definisi bahasa
Terdapat
berbagai-bagai definisi bahasa telah diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa dan juga
linguistik. Antaranya adalah seperti berikut:
“bahasa
adalah lambang-lambang yang kita jadikan sebagai simbol khusus untuk mewakili sesuatu” (Reed, C.A., 1994)
“satu
struktur yang unit daripada bunyi-bunyi dan ucapan yang dipilih dan disusun
secara sewenang-wenangnya (arbitrary) untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat
untuk berhubung.” (Simanjuntak, 1978)
“lambang-lambang
pertuturan yang dikeluarkan secara sewenang-wenangnya dan dipersetujui dan
digunakan untuk berkomunikasi.” (Bloom, 1988)
Teori pemerolehan bahasa
Ada
banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh para saujana tentang konsep
pemerolehan bahasa. Umpamanya Lyons (1995) melihat pemerolehan bahasa itu dari
perspektif nurani, iaitu petunjuk dari hati. Justeru bahasa tidak diperolehi
secara semulajadi tetapi tumbuh dan menjadi matang secara organik. Manakala
kamus Linguistik (1997) pula memberi takrif pemerolehan bahasa sebagai proses
pembelajaran bahasa daripada satu aspek hingga
keseluruhannya.
Mangantar
Simunjuntak (1987) pula berpendapat,
pemerolehan bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak seseorang
kanak-kanak (bayi), sewaktu memperolehi bahasa ibundanya. Dalam bidang
psikolinguistik, konsep pemerolehan bahasa berlaku hanya melibatkan bahasa
pertama kanak-kanak.
Menurut
Khairuddin Mohamad (2011) ada banyak pandangan dalam kalangan ahli bahasa
tentang proses pemerolehan bahasa. Oleh sebab pandangan yang berbeza-beza, maka
wujud pelbagai teori tentang pemerolehan bahasa ini. Antara teori yang popular
mengenai pemerolehan bahasa adalah Teori Behavioris, Teori Mentalis dan Teori
Interaksional.
Teori Behavioris
Menurut
Husin Fateh Din, Teori Beharvioris menekankan kepentingan persekitaran dalam
pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori pelaziman Operan. Teori ini
dipelopori oleh B. F. Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa
kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau keluarga yang lain mengajar
kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali
kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang
diberikan adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul dan
telah berjaya dilakukan oleh kanak-kanak.
Dalam
mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting
terhadap kanak-kanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan
bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat.
Aktiviti latih tubi dan latihan berulang kali amat penting dijalankan lebih
kerap untuk membolehkan pemerolehan bahasa berlaku sehingga menjadi amalan
kebiasaan.
Teori Mentalis
Teori
ini dipelopori oleh Noam Chomsky. Menurut teori ini pemerolehan bahasa boleh
ditakrifkan sebagai proses pemikiran yang melibatkan aktiviti mental. Teori ini
juga dikenali sebagai Teori Kognitif, iaitu menjelaskan bahawa bahasa sebagai
pengetahuan yang dihasilkan melalui proses dalam otak. Oleh itu, bahasa ialah
aktiviti mental yang merupakan kebolehan semulajadi manusia. Chomsky
berpendapat, manusia dilahirkan bersama Peranti Pemerolehan Bahasa atau Language Acquisition Device (LAD). Alat ini menyebabkan manusia mempunyai
kebolehan semulajadi untuk menguasai bahasa.
Menurut
Jean Piaget yang juga berfahaman Mentalis mengatakan perkembangan bahasa
kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau
berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu merupakan manifestasi penting
daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperolehi penguasaan bahasa
kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitif.
Peringkat
pertama (18 bulan – 2 tahun) kanak-kanak membentuk skema atau struktur kognitif
hasil dari interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan
dalam pelbagai bentuk simbolik. Daripada umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak
memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini
penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang.
Peringkat
kedua dalam lingkungan 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh
membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi
konkrit (7-12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti
hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian dan persirian. Umur selepas
12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.
Teori Interaksionalis
Teori
ini berkembang pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Terdapat beberapa orang ahli
bahasa yang mempelopori teori ini seperti Bloom, Bowennam, Cromer dan Halliday.
Noor
Aina (2007) berpendapat golongan ini kelihatan telah berpakat dengan mengambil
jalan tengah antara Teori Behavioris dan Mentalis. Mereka bersetuju bahawa
persekitaran luaran dan faktor bawaan semulajadi memainkan peranan yang sama
penting dalam proses pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kanak-kanak selain
menerima latihan bahasa yang pasif daripada ibu bapa, mereka juga dapat
memproses bahasa secara aktif kerana memiliki struktur dalaman dalam
memperolehi bahasa. Beberapa faktor seperti persekitaran sosial, pematangan,
biologi dan kognitif memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa
kanak-kanak. Semua faktor ini saling berinteraksi lalu melakukan penyesuaian
antara satu sama lain.