MASA ITU EMAS

Sabtu, 25 Mei 2013

BUDAYA DAN PEMBELAJARAN




PENGENALAN
Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan yang suci (fitrah), ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” Latar belakang keluarga seperti status ekonomi, pegangan agama, budaya keluarga, sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas pembentukan identiti individu pelajar. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah serta sokongan dan dorongan keluarga akan menjadi asas kepada kejayaan pelajar pada peringkat persekolahan seterusnya.

Pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi mempunyai kecenderungan untuk
mempunyai aspirasi tinggi, ekspektasi tinggi dan pencapaian akademik tinggi. Keluarga yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi mampu mengadakan persekitaran belajar yang sesuai dan baik. Manakala anak-anak daripada keluarga berpendapatan sederhana berkecenderung mempunyai aspirasi tinggi, kesan daripada status ibubapa yang memberi tekanan kepada anak-anak untuk berjaya.

PENGERTIAN BUDAYA
Mengikut kamus Dewan (2007) mendefinisikan budaya sebagai tamadun, peradaban kemajuan fikiran dan akal budi. Manakala kebudayaan pula dijelaskan sebagai keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir.
Menurut Noriati A Rashid et. al (2011) budaya atau kebudayaan berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu buddhayah yang terbentuk daripada kata buddhi (budi atau Akal) yang diertikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris budaya disebut culture yang berasal daripada bahasa Latin Colere yang bermaksud mengolah atau mengerjakan.
A. Aziz Deraman (1994) menjelaskan bahawa budaya dari segi antropologi merupakan keseluruhan yang kompleks di mana di dalamnya terkandung pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat dan kemampuan-kemampuan lain.

PENGERTIAN KELAS SOSIAL
Kelas sosial didefinisikan sebagai suatu lapisan orang-orang yang berkedudukan sama dalam kontinum (rangkaian kesatuan) status sosial. Status sosial adalah sekumpulan hak dan kewajipan yang dimiliki seseorang. Orang yang memiliki status sosial yang tinggi akan ditempatkan lebih tinggi dalam struktur masyarakat dibandingkan dengan orang yang status sosialnya rendah.
Kelas sosial adalah stratifikasi sosial menurut ekonomi  (menurut Barger). Ekonomi dalam hal ini cukup luas iaitu meliputi pendidikan dan pekerjaan kerana pendidikan dan pekerjaan seseorang pada zaman sekarang sangat mempengaruhi kekayaan seseorang individu.

IMPAK KELAS SOSIAL KELUARGA PELAJAR 

Pelajar sekolah terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik, bahasa dan loghat, struktur dan kelas sosial, agama dan kepercayaan, adat resam serta gender di samping persekitaran tempat tinggal yang pelbagai. Kepelbagaian latar belakang ini menghasilkan latar belakang budaya dan pembawaan yang berbeza dalam kalangan pelajar. Tingkah laku, tindakan dan pandangan dunia pelajar juga berbeza kesan daripada pengaruh latar budaya masing-masing. Justeru wujudlah kerencaman tingkah laku, tindakan, pegangan serta tasawur. Kerencaman ini dibawa ke sekolah dan ke dalam bilik darjah. Lantaran itu wujudlah kepelbagaian budaya di sekolah.

Latar belakang status sosio ekonomi (SSE) merangkumi aspek bilangan isi keluarga,
pendapatan ibu bapa, pekerjaan ibu bapa dan aspirasi sesebuah keluarga, yang lazimnya dikaitkan dengan komponen teras sosial dan ekonomi. Ahli-ahli sosiologi, termasuk Max Weber bersetuju terhadap lima kelas sosial di dalam masyarakat iaitu golongan atasan, pertengahan atasan, kelas pertengahan bawah, kelas pekerja dan golongan bawahan. Kedudukan status sosial ekonomi sedemikian turut mempengaruhi kanak-kanak yang secara langsung dan tidak langsung belajar daripada persekitaran fizikal, sosial dan iklim dalam dunia mereka dibesarkan. Ketinggian status sosial ekonomi sering dikaitkan dengan berinisiatif tinggi, bermotivasi, dan penyerlahan pelbagai kejayaan. Manakala, status sosial ekonomi  rendah pula dikelompokkan dalam kepapaan, kemiskinan, pengasingan daripada arus perdana kemajuan, kegetiran kehidupan, kais pagi makan pagi yang petang tiada kepastian, dan pelbagai musibah kegagalan kehidupan. Mereka dilabelkan sebagai sering berputus asa dan sukar menerima kenyataan. Ini menyebakan mereka sukar merancang masa depan dan sering menjadi mangsa keadaan sehingga berterusan dalam lingkaran ’putaran ganas kemiskinan’.

Ishak Haron (1977) dalam kajiannya menyatakan terdapat pengaruh taraf sosio-ekonomi yang berbeza ke atas pencapaian akademik pelajar di kalangan kumpulan-kumpulan etnik, kelas sosial dan tempat tinggal mereka di kalangan masyarakat di Malaysia. Pengaruh yang ketara ialah kelas sosial yang wujud di dalam sesuatu komuniti atau masyarakat. Pelajar dari kelas sosio-ekonomi yang tinggi memperolehi purata pencapaian yang tinggi berbanding dengan pelajar dari keluarga yang berstatus sosio-ekonomi rendah.


PERANAN PIHAK SEKOLAH DALAM MENANGANI MASALAH SOSIOBUDAYA

Peranan pentadbir Sekolah

Menurut Arbain Miswan dalam majalah Pendidik, (2005) pengetua memainkan peranan utama sebagai pemimpin pengajaran (instructional) dan pemimpin transformatif. Oleh itu perlu memiliki pelbagai kemahiran personal, profesional dan sosial serta mempunyai kekuatan mental, fizikal dan kerohanian untuk melahirkan sekolah yang berkesan lebih-lebih lagi sekolah yang mempunyai kepelbagaian sosiobudaya.

Berjaya atau sebaliknya sesebuah institusi atau sekolah bergantung kepada gaya kepimpinan pengurusan sekolah. Pengurus yang baik dapat mewujudkan iklim sekolah yang mesra, memotivasikan dan kerjasama sebagai sebuah pasukan. Kerencaman sosiobudaya boleh dimanfaatkan untuk mencapai matlamat sekolah. Saling bekerjasama antara sekolah dan komuniti, kursus melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memanfaatkan sekolah.

Lokasi sekolah dan latar belakang sosiobudaya sesebuah sekolah juga banyak mempengaruhi kelas sosial dan etnik. Perbezaan antara sekolah bandar dan pendalaman dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan mempengaruhi juga corak pembelajaran dan hubungan sosial. Biasanya sekolah-sekolah di kawasan pendalaman kekurangan kemudahan dan frasarana yang disediakan. Mereka adalah kumpulan minoriti yang tertinggal dari arus perdana.
Kumpulan Minoriti merupakan sesuatu kumpulan Etnik dalam sesebuah masyarakat yang mempunyai jumlah ahli yang kecil. Faktor Geografi mempengaruhi Budaya sesebuah kumpulan itu. Contohnya, masyarakat pedalaman kaum Asli, Kadazan, Murud dan sebagainya. Mereka hanya menerima pendidikan tidak formal sahaja melalui keturunan atau warisan daripada ibu bapa mereka.
Pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai alternatif antara kumpulan minoriti ini supaya mereka tidak terus mengalami keciciran dalam proses pembelajaran di sekolah. Kesemua kumpulan minoriti ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak terus tercicir dalam arus pendidikan. Dasar kerajaan yang telah mewajibkan pendidikan wajib kepada semua warganegara merupakan salah satu cara untuk mengelakkan keciciran berlaku.

Peranan PIBG
PIBG sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam peningkatan pencapaian pelajar mereka. Misalnya PIBG boleh membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar, menyumbang tenaga membantu kerja amal dan mencari sumber kewangan dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah. PIBG juga boleh membantu pelajar miskin dan keluarga berpendapatan rendah dengan memastikan mereka mendapat pelbagai bantuan  seperti bantuan KWAPM, bantuan Skim Bantuan Buku Teks serta menganjurkan majlis ilmu dan seminar motivasi untuk pelajar berkenaan. Penyertaan dalam program ini akan memberi rangsangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan persekolahan hingga melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi bagi membebaskan diri dan keluarga mereka daripada kemelut kemiskinan. Mereka juga dapat bersaing dengan golongan yang lebih berada.

Tiada ulasan: