MASA ITU EMAS

Sabtu, 25 Mei 2013

MEREALISASIKAN PIPP DALAM SUKATAN BM



PENGENALAN
Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.
Menurut http://ilmu.edublogs.org/2008/06/22/pelan-induk-pembangunan-pendidikan/  Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan. Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam menghadapi cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP 2006-2010 telah menggariskan enam teras iaitu membina Negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

KPM telah merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) KPM 2006-2010 yang akan menjadi garis panduan pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh sepanjang tempoh 5 tahun dalam RMKe-9. PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan pendidikan yang bersepadu, komprehensi dan menyeluruh tidak tertumpu pada satu jenis sekolah, lokasi dan kaum. Agenda utama KPM adalah  untuk membangunkan SK sebagai aliran perdana kerana majoriti pelajar berada di SK. Walau bagaimanapun, KPM tidak akan meminggirkan SJKC, SJKT dan SABK dalam meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah tersebut. PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur,pengisian dan tenaga manusia.



 Menurut http://skstjoe.tripod.com/id12.html terdapat enam teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk memperkukuhkan pendidikan negara.

 Teras pertama: Membina Negara Bangsa

Memberi fokus kepada pembinaan Negara Bangsa melalui pendidikan. KPM berhasrat untuk membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat membina Negara Bangsa ini akan dicapai dengan memperkasakan Bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) serta menggiatkan aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membina jati diri serta menerapkan budi bahasa dan adab di kalangan pelajar.

Teras kedua: Membangunkan Modal Insan

Usaha membangunkan modal insan KPM akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Teras ini juga berhasrat melahirkan pelajar yang kompeten dalam Sains dan Teknologi, inovatif dan kreatif serta kebolehpasaran. KPM akan menyediakan sistem pentaksiran dan penilaian holistik, membina disiplin pelajar serta memberi penekanan kepada kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Teras ketiga: Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

KPM akan memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) supaya sekolah-sekolah tersebut menjadi sekolah pilihan utama masyarakat. Sehubungan itu, sekolah kebangsaan akan dilengkapkan kemudahan asas pendidikan yang mencukupi dan berkualiti, bekalan elektrik dan air bersih serta kemudahan ICT. Sekolah juga akan dibekalkan guru terlatih yang mencukupi mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan.

Teras keempat: Merapatkan Jurang Pendidikan

Penekanan dalam merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, jenis sekolah, kaum, jantina, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar adalah untuk mengurangkan perbezaan daripada segi penyediaan kemudahan fizikal dan bukan fizikal, prestasi dan pencapaian pelajar serta keciciran. Justeru KPM akan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan khususnya di luar bandar Sabah dan Sarawak dan memastikan semua sekolah mempunyai prasarana mengikut standard minimum. KPM juga akan memperbanyak bantuan kepada pelajar miskin, berkeperluan khas dan kumpulan minoriti, mengurangkan jurang digital dan menempatkan guru terlatih yang mencukupi mengikut opsyen di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Teras kelima: Memartabatkan Profesion Keguruan

Usaha memartabatkan profesion keguruan adalah bagi memastikan profesion ini dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan generasi masa depan. KPM menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru untuk meningkatkan kelayakan guru ke peringkat ijazah. KPM juga akan menambah baik sistem pemilihan calon guru, perjawatan, penempatan dan kebajikan guru.

 
Teras keenam: Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

Usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan adalah dengan membentuk kluster kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan atau bidang-bidang khusus (niche areas). Sekolah-sekolah terpilih dalam kluster ini akan dirangkaikan dengan institusi ternama tempatan dan luar negara, menawarkan pelbagai peperiksaan peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate dan menjadi sekolah contoh. Sekolah-sekolah yang dikenal pasti daripada kluster ini akan dijadikan penanda aras dan showcase pada peringkat antarabangsa selaras dengan usaha membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia.

SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH (KBSR)

Mengikut teras pertama pelan induk pembangunan pendidikan iaitu membina negara bangsa Bagi mencapai hasrat membina Negara Bangsa ini ianya hanya akan tercapai dengan memperkasakan Bahasa Melayu.
a.    Memperkasa Guru Bahasa Melayu

Masyarakat abad ke-21 merupakan masyarakat yang berorientasikan sains dan teknologi serta menggunakan prasarana teknologi maklumat terkini dalam kehidupan seharian (Juriah, Khalid, Raja Mohd Fauzi, Siti Fatimah, Nik Mohd Rahimi, Zamri & Zarin 2001). Kemajuan sains dan teknologi ini turut menerima tempiasnya dalam sektor pendidikan. Sistem pendidikan di seluruh dunia telah banyak mengalami perubahan seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan dunia globalisasi ini. Sebagai contoh, perubahan-perubahan dalam pendidikan ini turut tercatat dalam banyak dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP), Standard Guru Malaysia, dan lain-lain. Semua yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini semuanya bermatlamat untuk melahirkan insan pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (KPM 1992).
Dalam menghasilkan guru Bahasa Melayu yang dapat menangani dan mendepani pendidikan Bahasa Melayu,  empat aspek berikut perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu. Ini berdasarkan pendapat Shulman (1987) yang memperkenalkan empat konsep Pedagogical Content Knowledge atau Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) jika mahu menghasilkan guru yang cemerlang, berkesan, inovatif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh guru, termasuk guru-guru Bahasa Melayu.
Apakah yang dimaksudkan dengan PPK? Shulman (1987) mendefinisikan PPK kepada pengetahuan guru menterjemahkan pengetahuan isi kandungan secara pedagogikal yang berkesan dengan memahami konteks dalam persekitaran pembelajaran di dalam bilik darjah berdasarkan pengetahuan guru terhadap pengetahuan isi kandungan subjek, pengetahuan pedagogi subjek, pengetahuan ciri setiap pelajarnya, pengetahuan tentang kepercayaan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan. PPK banyak melibatkan cara penyampaian guru secara berkesan terhadap sesuatu idea, analogi kukuh, ilustrasi menarik, contoh-contoh tepat dan munasabah, penerangan jelas dan bermakna serta tunjuk cara berkesan agar sesuatu isi pelajaran itu dapat difahami pelajar dengan mudah.
PPK dapat memperkasa pengajaran guru Bahasa Melayu dari segi membimbing pelajar untuk memahami mata pelajaran Bahasa Melayu dengan lebih bermakna seperti dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami, pertuturan yang lancar dan sistematik, perwatakan yang ceria dan meyakinkan ketika kelas Bahasa Melayu, penjelasan topik yang disusun, diolah, diubah suai dan disampaikan berdasarkan pelbagai kebolehan pelajar. Dengan adanya PPK ini, guru-guru Bahasa Melayu dapat menyampaikan isi pengajaran dengan lebih mudah dan berkesan.
b.    Pengetahuan isi kandungan

Guru-guru Bahasa Melayu perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan Bahasa Melayu sewajar diketahui oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang perlu difokuskan ialah:

i.               Kesediaan guru Bahasa Melayu untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna pengetahuan guru Bahasa Melayu tentang isi kandungan Bahasa Melayu merupakan kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.
ii.             Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.

iii.            Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.

iv.           Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru Bahasa Melayu perlu menguasai ilmu tatabahasa dan ilmu pedagogi Bahasa Melayu. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna tanpa menguasai ilmu Bahasa Melayu, boleh mengganggu pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari.


Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru Bahasa Melayu banyak bergantung kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis.

c.    Pengetahuan Kurikulum

Pengetahuan kurikulum bermaksud guru-guru Bahasa Melayu perlu memahami, mengetahui dan menguasai bagaimana kurikulum Bahasa Melayu itu dibina dan direka bentuk menjadi satu kurikulum yang sesuai untuk tahap kognitif pelajar. Antara elemen dalam pengetahuan kurikulum Bahasa Melayu itu ialah:

i.              Kesinambungan kurikulum: Hal ini bermaksud setiap kurikulum Bahasa Melayu yang dibina perlu saling berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh, kurikulum Bahasa Melayu menengah rendah ada kesinambungan dengan kurikulum Bahasa Melayu menengah atas. Tajuk tatabahasa misalnya, jika di peringkat sekolah rendah, penekanannya diberikan kepada tatabahasa yang mudah, pembinaan ayat-ayat yang mudah, maka sebaliknya di peringkat menengah rendah dan atas, sudah pasti tatabahasa yang digunakan jauh lebih sukar berbanding tatabahasa pelajar sekolah rendah. Begitu juga dengan pembinaan ayat dan sebagainya.

ii.             Orientasi kurikulum: Penekanan kurikulum Bahasa Melayu yang berorientasikan peperiksaan perlu dikurangkan. Hal ini bermaksud, apabila kurikulum Bahasa Melayu lebih berfokus kepada peperiksaan, maka matlamat utama untuk membantu pelajar menguasai kesemua kemahiran bahasa, kemahiran berkomunikasi dan lain-lain tidak tercapai. Pelajar hanya menguasai Bahasa Melayu untuk tujuan peperiksaan sahaja.

iii.            Pelaksanaan kurikulum: Guru-guru perlu memiliki pengetahuan bagaimana hendak melaksanakan pengajaran Bahasa Melayu dengan menyeluruh untuk membolehkan guru-guru membuat perancangan dan pelaksanaan pengajarannya mengikut tahap perkembangan dan kematangan pelajar. Apabila guru Bahasa Melayu memahami pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu tersebut, maka guru-guru dapat merancang pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu secara menyeluruh, terutamanya menangani perubahan-perubahan yang berlaku dalam pendidikan bahasa. Hal ini penting diketahui dan dikuasai setiap guru agar pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu yang dibuat dapat disesuaikan dengan keperluan dan tuntutan semasa.

iv.           Kandungan sukatan pelajaran: kandungan sukatan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu juga perlu berubah mengikut perubahan semasa yang berlaku. Perkara-perkara berkaitan dengan ICT, penilaian dan pentaksiran, kemahiran abad ke-21, kepelbagaian kecerdasan dan sebagainya perlu dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu selain mengekalkan perkara-perkara sedia ada seperti kemahiran bahasa, penerapan nilai dan lain-lain. Sebaik-baiknya kesemua perkara ini disebatikan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

Rumusannya, Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu. Perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan masa kini banyak mencabar keupayaan dan kebolehan guru Bahasa Melayu untuk mengajar dengan baik dan berkesan. Keadaan ini ditambah pula dengan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan pelajarnya. Oleh itu, guru-guru Bahasa Melayu perlu bersedia dan lebih terkehadapan dalam banyak perkara agar proses pengajarannya menjadi lebih menarik dan menyeronokkan pelajar.

Dalam Teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan iaitu Membangunkan Modal Insan, huraian Sukatan Bahasa Melayu ditekankan penerapan nilai murni, norma dan Kerohanian kepada pelajar-pelajar.

Menurut Zamri Mahamod (2011) Kemahiran berkaitan dengan normal, nilai murni dan kerohanian ini bermaksud guru-guru Bahasa Melayu perlu menerapkan elemen-elemen ini ketika mengajar Bahasa Melayu. Penerapan dan penyebatian norma, nilai murni dan kerohanian ini tidak hanya diserapkan secara tersurat dalam kandungan kurikulum, tetapi juga secara tersirat. Menerapkan nilai rasa bersyukur mempelajari Bahasa Melayu, mencintai bahasa ibunda serta menyedari akan kepentingan ilmu bahasa dalam kehidupan serta menyepadukan ilmu bahasa dengan pelbagai ilmu/multidisiplin/merentas ilmu serta mengaitkan ilmu bahasa dengan ilmu dunia dan akhirat adalah penting dalam melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran yang seimbang dalam aspek norma, nilai murni dan kerohanian.



FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Menurut http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah diumumkan secara rasmi pada tahun 1988 telah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor agama, sosial, politik, ekonomi, individu, dan faktor sejagat. Faktor-faktor ini telah menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai matlamat-matlamat yang tersendiri untuk dicapai. Justeru itu, segala aktiviti, perancangan, dan pencapaian hendaklah selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan negara kearah membentuk satu sistem pendidikan yang seimbang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi asas dan sumber inspirasi kepada semua rangka kearah pembangunan pendidikan ini sebenarnya mempunyai beberapa unsur-unsur penting yang perlu difahami oleh setiap ahli masyarakat sama ada warga pendidik, para pelajar, mahupun sesiapa sahaja rakyat Malaysia.

i.               “Pendidikan Suatu Usaha Berterusan”.
Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai keliang lahad” merupakan satu ungkapan yang sangat sesuai bagi menterjemah isi penting ini. Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat iaitu bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada dirumah lagi, seterusnya pendidikan secara formal di sekolah, institut pengajian tinggi dan sebagainya.

Jika dilihat dari perspektif lain, pendidikan suatu usaha berterusan ini membolehkan berlakunya perkembangan ilmu yang kritikal, seimbang dan mampu untuk melahirkan modal insan yang menjadi matlamat utama negara kita pada masa sekarang. Ini turut disokong oleh membangunkan modal insan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di mana ia memberi fokus kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, dan jati diri pelajar. Setiap perancangan yang disusun tidak dapat lari dari tujuan utama untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, pendidikan secara berterusan merupakan satu elemen penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

ii.          memperkembang potensi individu.
Potensi individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur intelek, jasmani, emosi, dan rohani. Melalui pendidikanlah potensi individu boleh di perkembangkan dan di gilap. Unsur jasmani ialah unsur fizikal individu iaitu berkaitan anggota tubuh badan. Perkembangan dan kecerdasan fizikal amat penting untuk kecerdsan mental kerana ianya merupakan satu perkara yang amat berkait rapat. Unsur emosi pula ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi kawalan kuat kepada semangat perpaduan dan sebagainya. Perkembangan emosi yang sempurna mampu untuk mengawal tingkah laku yang baik.

Unsur rohani pula merangkumi unsur berkaitan kalbu iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Unsur rohani ini lebih menjurus kepada amalan keagamaan. Unsur terakhir ialah unsur intelek iaitu berkaitan daya berfikir. Intelek penting kerana dengan unsur intelek, pelbagai masalah sukar dapat diselesaikan dengan tepat. Semua unsur-unsur ini membantu dalam perkembangan potensi individu dan menjadi asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
iii.            perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu.
Perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini merangkumi perkembangan individu yang maksima pada jalan atau cara yang tepat bagi membantu menggilap potensi yang ada dalam diri individu tersebut.

iv.           insan yang seimbang dan harmonis.
Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai jasmani, emosi, rohani dan intelek yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat.

v.               kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Perkara ini memberi penekanan kepada beberapa perkara penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama, dan yang terakhir sekali ialah sentiasa mengukuhkan kepercayaan beragama.
vi.             Berilmu pengetahuan
Berilmu pengetahuan yang dimaksudkan disini ialah mereka yang sentiasa bersedia berkongsi ilmu dan menggunakan ilmu untuk manfaat bersama. Antara ciri-ciri individu yang berilmu pengetahuan ialah individu yang mencintai ilmu pengetahuan, minat mentelaah, berfikiran global, berusaha berkongsi ilmu dan menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.
vii.             Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Iaitu rakyat yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, malahan rakyat yang mahir dalam melakukan tugasan dan mampu menjadi rakyat yang inovatif. Selain itu, rakyat yang berketrampilan juga merupakan rakyat yang melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan adanya kemahiran yang tepat dan bersesuaian dengan kehendak. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia merupakan unsur yang seterusnya dimana perkara utama yang dituntut adalah rakyat yang mampu untuk menilai mana satu yang baik dan mana satu yang buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
viii              Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Mengetahui tugas dan tanggungjawab merupakan amanah yang wajib dilaksanakan dengan sempurna. Undang-undang, perlembagaan negara perlulah dihoramati dan dipatuhi agar keamanan negara, perpaduan kaum dan kemasyhalatan masyarakat dapat dijaga dan diteruskan. Rakyat Malaysia yang mampu menikmati kesejahteraan diri iaitu yang berupaya menangani masalah hidup, mampu berfikir secara waras, mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain.
ix.                          Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, dan negara.           
Wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan akan membantu pembangunan negara dengan melahirkan keluarga yang harmoni dan mempunyai nilai-nialai murni seperti semangat kerjasama dan perpaduan. Perkara yang lebih penting ialah adanya rakyat yang mampu menguasai teknolongi dan ilmu-ilmu lain bagi memaksimakan pembangunan negara kita.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan sememangnya telah memberi beberapa implikasi terhadap sistem pendidikan di negara kita seperti implikasi terhadap kurikulum sekolah yang merangkumi beberapa aspek seperti perubahan sukatan subjek pelajaran yang berteraskan kepada program bersepadu seperti Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Selain itu, kurikulum sekolah juga dilihat telah mengalami perubahan dari segi bahan-bahan pengajaran yang lebih menitikberatkan nilai-nilai murni yang diserapkan kedalam semua subjek bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Perubahan kurikulum sekolah juga dapat dilihat dalam sistem pendidikan negara kita yang mula berorientasikan ke arah pendidikan umum dan perubahan sukatan pelajaran yang sesuai bagi mengasah kemahiran pelajar dalam bidang teknologi, teknik dan vokasional.

Dalam merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, bagi memartabatkan Pendidikan Perguruan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan yang penting  terhadap pendidik iaitu perubahan peribadi pendidik selari pandangan dan visi positif dalam menjalankan tugas atau profession bagi mencapai tujuan dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, perubahan positif ini telah mengubah P & P pendidik seterusnya melahirkan pendidik yang inovatif, berpengetahuan luas, berakhlak mulia, dan berketrampilan. Dalam institusi pendidikan sekarang, dapat kita lihat perubahan seperti perubahan kemudahan-kemudahan supaya para pelajar mendapat peluang bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial  dan jasmani secara seimbang.

Selain itu, akitiviti budaya sekolah juga mengalami perubahan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim sekolah yang kondusif juga telah melahirkan para pelajar yang menghargai ilmu dan melahirkan budaya-budaya positif seperti budaya membaca di kalangan mereka.

Sebagai rumusannya, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menyusun atur strategi bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya memberi impak positif dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita ini. Bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu kerana 4 elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.



Tiada ulasan: